Tuesday, 9 April 2019

Kereta Terbang No.1 Di Dunia





Kereta Terbang Pertama dunia dari Belanda







BILA disebut mengenai kereta terbang, pastinya ramai akan menganggap ia adalah satu perkara yang mustahil.

Mana tidaknya, ia sememangnya tidak pernah wujud sebelum ini, malah dilihat seperti tidak relevan untuk mempunyai kenderaan seperti itu bagi kegunaan ramai.

Bagaimanapun, inisiatif membina kereta terbang pertama di dunia sudah pun direalisasikan oleh sebuah syarikat dari Belanda iaitu PAL-V apabila mereka buat julung kali mempamerkan kenderaan unik itu sempena Pameran Motor Antarbangsa Geneva 2019 (GIMS 2019), baru-baru ini.

Menurut PAL-V, syarikat itu mula membangunkan kereta terbang terbabit sejak 2008 sebelum melaksanakan proses ujian memandu dan menerbang gyroplane itu pada 2012.

Dihasilkan sepenuhnya dari Belanda

"Dinamakan sebagai PAL-V Liberty, ia adalah produk yang dihasilkan sepenuhnya dari Belanda.

"Membangunkan sebuah kereta terbang sememangnya mengambil masa yang lama. Bukan saja kami perlu memikirkan mengenai pembinaannya malah perlu mengadakan perbincangan berterusan dengan kerajaan (Belanda) dan Kesatuan Eropah (EU) bagi mewujudkan garis panduan dan undang-undang khusus untuk menerbangkan kenderaan ini.

"Tujuan kami membangunkan produk ini adalah bagi menawarkan kelainan. Sekiranya anda bosan memandu dan inginkan sebuah jentera yang boleh terbang serta ingin mendarat di depan rumah, kenderaan ini pastinya memenuhi kriteria itu," katanya kepada BH Auto.

Menurut syarikat itu, model yang ditayangkan pada GIMS 2019 adalah edisi terhad dinamakan sebagai PAL-V Liberty Pioneer.

"Versi ini yang terdiri daripada 90 unit saja dibangunkan berdasarkan model asal, PAL-V Liberty, yang mana ia mula diperkenalkan sejak GIMS tahun lalu.

"Ia dilengkapi kokpit dwi kawalan dan sistem instrumen penerbangan elektronik. Kemasan karbon dan dua tona warna yang terdapat pada model ini membezakannya daripada model standard Liberty," katanya.

Seberat 664 kilogram

Melihat kepada spesifikasi, kereta terbang itu adalah seberat 664 kilogram dan ia hanya mampu membawa dua orang termasuk pemandu/juruterbang.

Kenderaan itu mengambil masa kira-kira tiga hingga lima minit untuk pertukaran mod pemanduan ke mod terbang atau sebaliknya.

Pada mod pemanduan, ukuran kenderaan itu adalah sepanjang empat meter, dua meter lebar dan 1.7 meter tinggi. Sebaik bertukar kepada mod terbang, ia menjadi 6.1 meter panjang, dan ketinggian bertambah kepada 3.2 meter selain mempunyai kipas rotor berdiameter 10.75 meter.





Apabila dipandu, ia mampu menghasilkan 100 kuasa kuda (hp) dengan jarak perjalanan 1,315 kilometer dengan mencatatkan kelajuan maksimum 160 kilometer sejam (km/j) serta melakukan pecutan 0 hingga 100 km/j kurang dari sembilan saat.

Bagi mod terbang pula, ia mampu mencatat jarak perjalanan 400 hingga 500km dengan mencapai kelajuan maksimum 180km/j. Kenderaan itu memerlukan jarak 180 meter untuk berlepas dan 30 untuk mendarat.

Ia juga mampu terbang ke paras ketinggian maksimum 3,500 meter serta mencatat kelajuan cruise 160km/j.

75 unit sudah dijual

Sementara itu, jurucakap PAL-V berkata, sebanyak 75 unit kenderaan itu sudah berjaya dijual dan penyerahan pertama akan dilaksanakan pada Disember tahun ini.

"Tempahan dibuka sejak 2018 dan pelanggan perlu memiliki lesen memandu dan lesen juruterbang untuk membeli kenderaan ini.

"Pelanggan yang membuat tempahan kereta terbang ini kebanyakannya adalah dari Eropah, diikuti Asia Barat dan China.

"Bagi memudahkan pelanggan, mereka perlu menghadiri program khusus oleh PAL-V yang mana kami akan terangkan mengenai garis panduan dan undang-undang yang perlu mereka patuhi selepas melakukan sebarang pembelian," katanya.

Info

*Harga: PAL-V Liberty (300,000 euro), PAL-V Liberty Pioneer (500,000 euro)

*Kapasiti: 2 orang

*Masa pertukaran: 3-5 minit

*Jarak pemanduan: 1,315km

*Jarak penerbangan: 400-500km

Sumber : Berita Harian