CARIAN PILIHAN


Thursday 28 June 2018

Perumahan : Mengira Kemampuan Anda Membayar Balik Pinjaman Perumahan. Part 5




MENGUKUR KEUPAYAAN ANDA MEMBAYAR BALIK PINJAMAN

Mengira kemampuan bayaran balik pinjaman perumahan

Setiap Institusi kewangan mempunyai kriteria yang berbeza dalam menentukan kemampuan membayar balik pinjaman.

Berdasarkan kriteria umum, jumlah ansuran bulanan rumah anda tidak sepatutnya melebihi 1/3 daripada jumlah pendapatan isi rumah. Jika anda mempunyai deposit tabungan atau deposit
tetap, fakta ini boleh digunakan untuk menyokong permohonan pinjaman anda memandangkan ianya akan turut diambil kira oleh institusi-institusi kewangan dalam menilai kelayakan pinjaman anda.
Institusi kewangan mempunyai kriteria yang berbeza dalam menentukan kemampuan membayar balik pinjaman. Bagi pinjaman yang berkadar faedah terapung, anda juga perlu peka bahawa
pembayaran bulanan anda akan meningkat dengan ketara apabila kadar faedah meningkat.

Sebagai contoh, sekiranya kadar pinjaman asas (BLR) mengalami kenaikan, kadar faedah bagi pinjaman anda juga akan naik dan begitulah juga dengan ansuran. Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, institusi kewangan akan membenarkan anda membayar ansuran mengikut jumlah
bulanan asal dan kemudiannya pelarasan dibuat dengan melanjutkan atau mengurangkan tempoh pembayaran balik. Anda bolehlah bertanya kepada institusi kewangan anda berhubung perkara ini.

MARGIN PEMBIAYAAN

Jumlah pembiayaan yang disediakan oleh institusi kewangan bergantung kepada nilai pasaran (bagi rumah sudah siap sahaja) atau harga belian rumah, mengikut mana yang lebih rendah.
Margin pembiayaan boleh mencecah sehingga 95% daripada harga rumah. Margin pembiayaan mungkin dipengaruhi oleh faktor-faktor berikut:
• Jenis hartanah
• Lokasi hartanah
• Umur peminjam
• Jumlah pendapatan peminjam

TEMPOH PINJAMAN

Tempoh pinjaman boleh ditetapkan untuk sebarang tempoh asalkan ianya tidak melebihi 30 tahun atau sehingga peminjam mencapai umur 65 tahun (atau sebarang umur lain yang ditentukan oleh institusi kewangan), mengikut mana yang dahulu.

CIRI-CIRI PINJAMAN

Lain institusi kewangan lain pakej yang ditawarkan. Anda perlu meneliti kesemua ciri pakej pinjaman dan tidak hanya membuat keputusan berdasarkan kepada satu ciri tertentu sahaja. Kadar faedah hanyalah satu faktor yang perlu dipertimbangkan tetapi ciri-ciri lain seperti terma pembayaran balik yang fleksibel boleh menjadikannya seimbang, malah mungkin lebih menjimatkan. Umumnya,
pakej pinjaman yang ditawarkan oleh institusi kewangan adalah sama ada dalam bentuk pinjaman berjangka atau kemudahan overdraf atau kombinasi kedua-duanya.