CARIAN PILIHAN


Thursday 12 July 2018

Perumahan : Perjanjian Pinjaman ialah kontrak yang ditandatangani di antara peminjam dengan institusi kewangan. Part 7




Perjanjian Pinjaman ialah kontrak yang ditandatangani di antara peminjam dengan institusi kewangan.


SKIM BAYARAN BERPERINGKAT

      Di bawah skim ini, jumlah pembayaran balik adalah rendah di peringkat awal pinjaman tetapi beransur-ansur meningkat pada tahun-tahun berikutnya. Kaedah ini akan memberi peluang
kepada pembeli rumah untuk mengurangkan beban pembayaran di peringkat awal supaya lebih banyak wang dapat digunakan untuk tujuan lain. Bila pendapatan pembeli meningkat,
kemampuan kewangan peminjam akan turut meningkat, sekali gus menjadikan ia mampu membuat pembayaran balik pada tahap yang lebih tinggi. Skim pembayaran berperingkat sesuai untuk pembeli rumah yang ingin membeli rumah yang lebih mewah tetapi dihalang oleh keupayaan membayar
balik di peringkat awal.

OPSYEN MEMBUAT PEMBAYARAN TERDAHULU

Lain institusi kewangan lain pula terma-terma dan syarat-syarat yang dikenakan berhubung dengan pembayaran terdahulu. Pakej pinjaman hendaklah diteliti untuk menyemak sama ada anda dibenarkan untuk membuat pembayaran terdahulu atau pembayaran ansuran melebihi tahap biasa. Kefleksibelan untuk membuat pembayaran terdahulu dan pembayaran faedah berasaskan baki harian boleh menyumbang kepada pengurangan caj faedah dengan ketaranya. Anda juga boleh memilih untuk membuat pembayaran balik pinjaman sementara rumah masih di dalam pembinaan untuk mengurangkan lagi caj faedah. Apa yang penting ialah anda mesti membuat pembayaran balik pada atau sebelum tarikh yang ditetapkan.

PEMBAYARAN TERDAHULU TERHADAP SEBAHAGIAN DARIPADA PINJAMAN

Ramai peminjam berasa ada baiknya memendekkan tempoh pinjaman dengan membuat pembayaran terdahulu terhadap sebahagian daripada baki pinjaman melalui lebihan wang tabungan atau bonus tahunan. Pada amnya, jumlah pembayaran terdahulu untuk sebahagian daripada pinjaman ini boleh dibuat dalam apa-apa jumlah. Walau bagaimanapun, sesetengah institusi kewangan mungkin
mengehadkan jumlah yang boleh dibuat pembayaran terdahulu, manakala ada juga yang mungkin mengenakan penalti. Pengurangan caj faedah yang amat berkesan ialah dengan membuat pembayaran
terdahulu pada tahun-tahun awal tempoh pinjaman.

PENALTI BAGI PENYELESAIAN AWAL

Institusi kewangan mungkin mengenakan penalti apabila pinjaman diselesaikan sepenuhnya lebih awal. Pada amnya, penalti yang dikenakan adalah sama ada berasaskan kadar sama rata atau faedah untuk ‘x’ bulan (contohnya, 1 bulan faedah). Apabila institusi kewangan meluluskan sesuatu
pinjaman untuk tempoh tertentu, institusi berkenaan telah mengunjurkan bahawa pinjaman tersebut akan dijelaskan sehingga selesai seperti mana yang telah dipersetujui. Berdasarkan unjuran ini, institusi kewangan telah membuat perancangan aliran wang tunai dan sebarang penyelesaian awal
akan menggangu perancangan aliran wang tunai tersebut. Oleh yang demikian, sesetengah institusi kewangan tidak mengenakan penalti sekiranya anda memberi notis yang cukup (seperti yang dinyatakan dalam syarat-syarat dan terma-terma pinjaman) atau jika penyelesaian dibuat
selepas mencapai tempoh minimum bagi pinjaman dikehendaki kekal dalam buku institusi kewangan tersebut.

DOKUMENTASI

Dokumen utama untuk permohonan pinjaman perumahan ialah Perjanjian Pinjaman.
Perjanjian Pinjaman ialah kontrak yang ditandatangani di antara peminjam dengan institusi kewangan. Perjanjian Pinjaman mengandungi peruntukan utama seperti terma-terma pinjaman, pinjaman pokok, kadar faedah, kadar faedah ingkar, caj penalti dan syarat pembayaran balik.
Ia turut menghuraikan kewajipan peminjam dan pembiaya serta hak-hak dan bentuk tindakan setiap pihak sekiranya berlaku pelanggaran syarat-syarat perjanjian. Dokumen-dokumen lain yang memerlukan tandatangan anda ialah “Surat Ikatan Serah Hak”, “Dokumen-dokumen Cagaran”
dan “Surat Kuasa Wakil”. Sila ambil ingatan bahawa di sepanjang tempoh pinjaman tersebut, rumah anda telah dicagarkan kepada institusi kewangan berkenaan (iaitu institusi kewangan mempunyai tuntutan ke atas rumah anda). Sama ada anda membeli rumah sudah siap atau masih dalam pembinaan, anda perlu meminta penjelasan daripada peguam andamengenai peruntukan-peruntukan utama yang terkandung di dalam perjanjian serta implikasinya.